The One and Only
cerpen
Thursday, June 24, 2010 • 6/24/2010 11:31:00 AM • 0 comments

Rumah kayu dua tingkat itu tetap berdiri teguh di situ, di simpang jalan

antara Jalan Cicar dan Jalan Kuang.

Ia dinaungi pohon-pohon hijau yang kian merimbun, rumput dan lelalang kian tumbuh meliar di halamannya yang terbiar. Di anjung rumah besar berkayu cengal itu, masih ada buaian besi yang terpaku dimamah waktu, manakala beberapa bahagian dinding rumah yang tersergam penuh kenangan itu sudah mula terkopek dimamah anai-anai.

Setiap kali melintasi rumah dua tingkat itu, saya akan cuba sedaya upaya memberhentikan kereta.
Berdiri lama di situ menatap sejarah dan kenangan yang pernah terakam. Merenung parut dan bekas ingatan yang pernah terpalit di halaman rumah itu. Hati saya sebak. Pedih menghiris kalbu.

Ada kocakan sendu yang beruntaian, ingatan dan kenangan silam tatkala usia kanak-kanak, mula menjengah.

Di situ saya mengenali Natalie Ayuni, anak tunggal hasil perkahwinan campur. Ibunya berdarah Eropah, manakala bapanya Cina muslim yang bertugas di logi Petronas di Kerteh, dia sahabat sepersekolahan saya.

Kami sama-sama bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kuang. Sekolah kecil yang masih belum dilengkapi beberapa kemudahan asas, di kampung kecil itu kami sama-sama membesar, belajar dan bermain.

Mendengar pesan dan asuhan daripada ibu bapa dan guru-guru yang kami kasihi, menyimpan cita-cita dan impian yang sering kami canangkan bersama. Di mata saya, dia sahabat paling cekal dan tabah.

Meskipun sering sakit teruk serta ditimpa alahan, dia tetap ingin menghadirkan diri ke sekolah setiap pagi. Mendengar celoteh dan cerita cikgu-cikgu yang kami kasihi.

Di hadapan kelas, kami seronok mendengar Cikgu Sufinah tekun mengajar sambil sesekali dihiburnya kami dengan suara lunak merdunya mendendangkan lagu-lagu Hindustan. Paling kami suka mendengar Cikgu Megat membacakan sajak-sajak pendeknya di dalam bahasa Inggeris di hadapan kelas setiap kali kelas Bahasa Inggeris bermula.

Antara yang masih saya hafaz dan ingat hingga ke hari ini ialah sajak berjudul `Don�t say goodbye� dan `My world is silent�. Kata Cikgu Megat, sajak itu ditujukan kepada salah seorang pelajar di kelas kami yang tidak mampu berinteraksi dek masalah perdengaran yang dialaminya sejak kecil.

Setiap kali bait-bait sajak itu dilafazkan, saya lihat mata Natalie Ayunie berkaca, ada kesedihan yang turut dikongsinya bersama kami. Antara barisan sajak itu yang masih saya hafaz hingga kini berbunyi:

My world is silence... anythings was gone... empty and meaningless... heart like shattered to the stone

Nobody else but lonely and lonely... I want fly to reach the bluesky

Laugh dan cry together... talk and sing a song forever

But my world is silence...

Hari Guru yang disambut 16 Mei setiap tahun, kami tidak lupakan guru-guru yang kami kasihi. Kuntuman ros merah yang dibalut cantik serta pelbagai hadiah dan cenderamata kami hadiahi guru-guru tercinta yang cekal mendidik dan membina masa depan yang serba berliku.

Jiwa rasa tenteram setiap kali mendengar kelunakan suara Ustazah Hafsah melagukan ayat-ayat al-Quran dengan bertaranum. Pelbagai kemahiran tajwid dan himpunan sirah nabi diperdengarkan kepada kami cerita-cerita perjuangan yang membuatkan kami terpaku di atas kerusi.

Saya dan Natalie Ayuni tidak dapat lupa tentang kisah-kisah perjuangan Panglima Tariq bin Ziad menawan kota Andalusia di wilayah Cordova. Malah, kisah� Alexander the great� dan kehebatan sirah Salehuddin Ayubi mengalahkan Raja Ferdinand dalam Perang Salib sentiasa kekal terakam di lubuk hati kami.

Menjelang petang tatkala selesai mengaji di rumah guru Quran kami, Ustaz Abdullah yang berkelulusan al-Azhar, saya dan Natalie Ayuni melangkah bersama ke sekolah untuk mengisi aktiviti kokurikulum yang dikendalikan Cikgu Zul dan Cikgu Amaniah. Kerana minat yang sama-sama dalam bidang kebajikan dan pertolongan cemas, kami sama-sama sertai Persatuan Bulan Sabit Merah.

�Dunia yang penuh dengah konflik peperangan dan tragedi bencana memerlukan lebih ramai manusia yang prihatin dan bertanggungjawab,� bisik Natalie Ayuni setiap kali berakhir sesi aktiviti luar kelas dengan wajah yang berkaca hiba.

�Kenapa semakin pintar akal manusia semakin banyak berlaku penindasan dan peperangan. Tragedi demi tragedi terus berlaku menyebabkan ramai kanak-kanak dan wanita menjadi mangsa. Di Bosnia, Rwanda, Kashmir, Iraq dan Palestin sentiasa ada darah dan korban kematian. Saya bencikan kezaliman dan penindasan,� rungut Natalie Ayuni lagi.

Di hadapan saya, Natalie Ayuni kerap berkisah tentang impiannya yang satu, impian besarnya ingin menemui pemimpin-pemimpin dunia.

Kata Natalie, dia teringin bertemu dengan Presiden Amerika, George W. Bush; Perdana Menteri Britain, Tony Blair; pemimpin Yahudi Zionis, Benyamin Netanyahu; Presiden Iran, Ahmadenajet dan Setiausaha PBB; Koffi Annan dalam satu majlis khas misi keamanan sejagat.

Dia mahu pemimpin besar dunia duduk semeja berbincang bagaimana menangani konflik yang tercetus. Segala peperangan atas apa alasan sekalipun mesti dihentikan, dunia telah terlalu lama terluka dek tragedi demi tragedi. Konflik Darfur di Sudan dan krisis di rantau Balkan telah meragut ribuan nyawa kanak-kanak tidak berdosa.

Malah, di Srinagar, Kashmir, Iraq ramai insan kecil menderita dan kehilangan keluarga. Hati Natalie Ayuni kerap tersentuh menatap pembunuhan dan kematian yang berlaku setiap detik dan ketika.

Kata dan pesan Ustaz Abdullah setiap kali masuk ke kelas kami di tingkat bawah hanyalah satu.

�Usah melakukan perkara yang melampaui batas, nanti masuk neraka, jadilah insan yang pemaaf. Jangan lukakan hati ibu bapa dan jiran tetangga.

�Contohi akhlak baginda Rasulullah SAW yang memaafkan sesiapa sahaja termasuk orang yang paling zalim. Hidup Ini bak embun di hujung rumput, datang mentari pagi hilanglah ia. Usia kehidupan terlalu singkat, begitu cepat dan sementara cuma, tiada yang kekal abadi melainkan Rabbi.� kata ustaz Abdullah.

Saya melihat mata Natalie Ayuni berkaca hiba, ada genangan sedih yang terhimpun. Saya pandang raut wajahnya yang pucat lama-lama mencari rahsia yang cuba disembunyikan. Di dalam kelas, dia tidak lagi seceria dulu.

Guru-guru yang datang berceloteh dan bercerita tidak dapat menghiburkan hatinya. Bulan Mei, seminggu sebelum peperiksaan bermula, tahulah saya apa sebenarnya yang cuba disembunyikan.

Demam panas dan pitam yang dialaminya berulangkali telah membawanya ke hospital menemui pakar perubatan. Setelah dirawat melalui kaedah pengambilan darah dan ujian imbasan ke atas sistem tubuh, doktor mengesahkan Natalie Ayuni menghidap kanser darah yang kritikal.

Pembedahan dan rawatan kemoterapi perlu dilakukan segera. Hampir luluh hati saya mendengar berita pedih itu. Guru-guru di sekolah dan rakan-rakan sekelas bagaikan tidak percaya, mereka bagaikan histeria mendapat perkhabaran itu.

Tidak disangka, kuman kanser telah lama menyerang sebahagian tubuh sahabat saya, apa lagi yang mampu saya lakukan selain berdoa dan berdoa.

Kata Ustazah Hafsah dengan wajah yang sendu pilu:

�Bertawakal dan berdoalah selalu, doa orang mukmin sentiasa diperkenankan Tuhan.

"Jangan berhenti berdoa, yakinlah, Allah itu maha penyembuh penyakit.�

Di tengah kesakitan dan penderitaan angkara rawatan kemoterapi yang berulangkali, Natalie Ayuni banyak kehilangan sel-sel darah putihnya. Sebahagian rambutnya yang lebat memanjang kini semakin nipis dan gugur.

Setiap helaian rambutnya, saya kutip dan isikan ke dalam botol plastik. Saya yakin, suatu hari apabila sembuh nanti, rambut yang gugur itu akan saya unjukkan di hadapannya. Paling membanggakan saya, pada saat-saat dia menderita, Natalie tidak pernah berhenti bercerita tentang impian dan cita-citanya untuk menjadi saintis angkasa lepas.

Katanya, dia teringin menjejakkan kaki ke Bulan dan bintang, planet dan angkasa raya yang luas.

Beberapa minggu menerima rawatan di hospital Kemaman, keadaan Natalie Ayuni beransur baik dan sembuh, dia sudah mula mampu tersenyum dan berbual, bercerita dan bergelak tawa di hadapan keluarga dan teman-teman.

Dek semangatnya yang tinggi, saya sorong Natalie Ayuni yang berkerusi roda mengatur langkah ke sekolah. Dia puas dapat duduk semula di kerusinya yang lama ditinggalkan, mendengar nasihat dan pesan guru-guru yang tekun memberi ilmu.

Setiap kali sebelum loceng pulang berbunyi, kami sama-sama menyanyikan sajak pendek yang diciptakan oleh Cikgu Megat. Dengan suara penuh semangat kami ungkapkan kata-kata perangsang serba romantis itu:

Dont say goodbye... dont go away

Without you anything was fade...

Stay dan stand beside me... touch my hand and give me hope

Dream to be come true... may of Allah blessing our way to eternity

Forever and ever...

Dua bulan selepas itu, bait-bait sajak itulah yang kami dendangkan penuh pilu tatkala mengiringi jenazah Natalie Ayuni untuk disemadikan di tanah pusara bersebelahan masjid.

Antara sebak dan sendu, tangisan dan duka beruntaian saat kami alunkan doa dan al-Fatihah, di tangan saya, gumpalan rambut Natalie yang gugur saya genggam erat-erat. Mata saya seperti melihat rambutnya yang mengurai panjang.

Kini, sesudah nostalgia silam di zaman persekolahan, untuk sekian kalinya saya ziarahi pusara Natalie. Dari jauh, saya tatap wajah bangunan Sekolah Kebangsaan Kuang yang masih megah berdiri.

Sekolah yang pernah mendidik dan mengasuh saya, sambil memerhatikan wajah guru-guru yang tidak lagi saya kenali. Mengenangkan ke mana perginya guru-guru yang pernah mendidik saya dahulu.




The name given is Aqilah Zahirah Zulhisham. She loves to blogging since 2007 :)She lives in Kuala Lumpur,Malaysian. There is her own story of love and disappoinment, grief and happiness.

Diary About
 Sweet Stalker


Hi readers! Tekan iklan bawah ni untuk dapatkan duit :) masyukk !!
Template By: Umi Humaira
Owner: Qilaazahiraaa